Krim Anti Kulat Hasil R&D Terbaik SIRIM Bakal Berada Di Pasaran Tempatan…


KUALA LUMPUR, 15 MAC: Krim anti-kulat hasil penyelidikan terbaik SIRIM yang berasaskan ekstrak tumbuhan semula jadi kelak akan berada di pasaran tempatan.

Krim anti-kulat ini mempunyai ciri membasmi kulat dengan spektrum yang luas bagi mengubati jangkitan kulat untuk kuku dan kulit. Krim ini hasil penyelidikan terbaik dari SIRIM IR.

SIRIM Tech Venture Sdn Bhd (STV) iaitu anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad yang bertangungjawab untuk mengkomersilkan teknologi di SIRIM, telah bekerjasama dengan Procell PLT iaitu sebuah syarikat di bawah Program Simbiosis 3.0 kelolaan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Ketua Pegawai Eksekutif STV, Ajmain Kasim berkata, STV berperanan mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan perindustrian seperti teknologi, produk dan proses agar pihak industri mendapat manfaat ekonomi daripada hasil penyelidikan tersebut.

SIRIM sentiasa komited dalam menyediakan hasil kajian yang berkualiti dan lestari serta memastikan produk yang dihasilkan adalah selamat, memenuhi keperluan pasaran dan memberi manfaat kepada syarikat, kerajaan dan masyarakat.

Istimewanya produk anti-kulat ini adalah ia tidak mempunyai bahan toksik yang sering menjadi penyebab kerengsaan atau kegatalan pada mata dan kulit yang banyak terdapat di produk anti kulat. Bahan aktif di dalam krim anti-kulat hasil R&D SIRIM ini adalah alternatif  kepada agen anti-kulat sintetik yang terdapat di dalam kebanyakan produk anti-kulat di pasaran yang boleh mendatangkan kesan alergi.

Krim anti-kulat ini telah diperkenalkan semasa pameran BioUsahawan 2019. Krim ini telah melalui pelbagai ujian keselamatan dan keberkesanan di dalam pencegahan jangkitan kulat pada kulit dan kuku serta menunjukkan hasil penyembuhan yang amat memberangsangkan. Pengarah Urusan Procell PLT, Mohd Irfan Mohd Sharif berkata, pihaknya berharap agar peluang kerjasama bersama SIRIM dapat diteruskan dalam memasarkan produk semula jadi tersebut ke seluruh Malaysia.

Procell PLT sebagai syarikat penerima teknologi anti-kulat hasil penyelidikan SIRIM ini mensasarkan pasaran produk akan bermula pada Jun depan, dan boleh didapati di seluruh Malaysia. Syarikat berkenaan juga dalam usaha untuk menambah ejen bagi menembusi pasaran farmasi dan klinik terpilih. STV dan Procell PLT juga akan meneruskan hasrat pengkomersialan produk ini melalui perlesenan teknologi.

Tahniah buat semua yang terlibat, semoga usaha terbaik ini dapat manfaat buat semua………

 



Leave a Reply