UNIVERSITI MULTIMEDIA (MMU) DAN SIRIM TECH VENTURE SDN. BHD. (STV) JALIN KERJASAMA PERKUKUH BIDANG KEUSAHAWANAN, INOVASI & TEKNOLOGI

CYBERJAYA 15 Mei – universiti multimedia (mmu) dan sirim tech venture sdn. Bhd. (stv) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (Mou) dalam usaha memajukan bidang teknologi inovasi dan pengkomersilan keusahawanan.

MMU merupakan institusi berstatuskan Premier Digital Tech University, manakala STV adalah anak syarikat SIRIM Berhad.

Kerjasama itu memperkukuhkan kedudukan MMU dan STV sebagai peneraju dalam bidang keusahawanan dan inovasi dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) melalui perkongsian kepakaran teknikal.

Dokumen perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Naib Presiden (Penyelidikan dan Inovasi) MMU, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid dan Ketua Pegawai Eksekutif STV, Ajmain Kasim di Pameran Ciptaan Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) di Kuala Lumpur.

Menurut Hairul Azhar, kerjasama tersebut membuktikan kesinambungan MMU yang terus ke hadapan dalam bidang tersebut.

“MMU sentiasa menjadi perintis dalam industri pengajian tinggi negara kerana ia bukan sahaja terkemuka dalam bidang teknologi maklumat dan industri kreatif tetapi juga memberi fokus kepada usaha melahirkan graduan yang memiliki kemahiran insaniah.

“Sebab itu, graduan MMU terbukti memiliki kebolehpasaran yang tinggi dalam pasaran kerja dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hairul Azhar, MoU ini terus membina kekuatan MMU dalam memupuk nilai keusahawanan berasaskan teknologi dalam kalangan pelajar.

“Ini kerana MMU akan terus melahirkan graduan yang bukan sekadar pencari pekerjaan tetapi juga pencipta pekerjaan iaitu mereka membuka perniagaan yang seterusnya menyediakan peluang kerja kepada orang lain,” katanya.

Jelasnya, MMU memberi fokus kepada perkara itu melalui program pembangunan keusahawanan yang dijalankan oleh jabatan khusus iaitu Pusat Pembangunan Keusahawanan (EDC).

“MoU ini menjadi pemangkin untuk meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu terkini keusahawanan dalam kalangan pelajar yang akhirnya mereka bebas memilih untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan selepas menamatkan pengajian pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, MMU bakal meraih faedah dalam perkongsian pengalaman STV, kajian inovasi, bengkel dan sebagainya menerusi kerjasama itu.

Antara tajuk kajian yang bakal dikembangkan ialah model perniagaan interaktif, laluan komersil, pengurusan teknologi, portfolio pasaran, kajian pasaran, teknologi radar, profilnya dan sebagainya.

Sementara itu, Ajmain berkata, pihaknya memperkukuhkan initiatif kerjasama itu dengan melaksanakan pendekatan ‘sandbox approach’ yang dimajukan oleh STV.

“Kerjasama STV dengan MMU akan melahirkan ilmu pengetahuan secara dekat dalam kesediaan menerokasi perniagaan komersil,” jelasnya.

 

SUMBER : UTUSAN ONLINE